Wednesday, July 20, 2011

Apa Ertiku Menuntut Ilmu


alt

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Al Mujahid As Syeikh Mustafa Masyur pernah menyebut ;

"Tarbiyyah (pendidikan) bukan segalanya-galanya, tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyyah."

Kadang-kadang kita mengeluh mengapa kita perlu belajar tinggi-tinggi?
Kita hanya belajar untuk peperiksaan yang bakal tiba.
Kita hanya belajar untuk memuaskan hati ibu bapa.
Kita hanya belajar untuk dipandang tinggi oleh masyarakat.
Satu pertanyaan diajukan oleh golongan wanita.
Katanya buat apa belajar tinggi-tinggi, lepas kahwin jadi surirumah juga?

Namun ada yang kata dunia hari ini berbeza, lelaki & wanita sama saja.
Bila berumahtangga apa susah, masing-masing urus kerjaya sendiri.
Bila datang cahaya mata, masing-masing tak nak mengalah, kerjaya masing-masing dipertahankan, anak yang dianugerahkan dianggap musibah.
Akhirnya dengan sifat penyayang si ibu pasti mengalah.
Akhirnya sama saja wanita tetap jadi surirumah.
Sedikit portion adalah sebaliknya, lelaki yang jadi surirumah.
Tapi hakikatnya tetap wanita majoritinya.

Ada satu kata-kata Ibu yang bijak mengajar anak daranya,

"Jangan anggap wanita tidak perlu belajar tinggi-tinggi, walau kebanyakan akan jadi surirumah, tapi ingatlah anakku, ia pasti berbeza cara dan kualiti, seorang ibu yang tinggi pelajaranya dengan yang sebaliknya, yang mana akan melahirkan insan yang berguna?"

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui"

(QS 39 : 9)

Bagi lelaki pula jangan gembira, jangan menyangka wanita belajar nampak tiada gunanya. Bagaimana dengan diri anda?Mengapa wanita selalu lebih banyak, terutama di peringkat IPT? Ada yang kata dunia nak kiamat, ada yang kata lelaki is more to practical, not theoratical. Itu pasal habis SPM kami terus masuk bekerja. Tidak payah nak belajar tinggi-tinggi, buang duit bayar yuran pengajian. Kalau bekerja dapat sebaliknya, dapat kumpul duit itu yang utama. Diri pun nampak matang, kerana sudah bekerjaya.

Tidakkah dirimu nampak kurang matang, kerana pemikiranmu tersangkut hanya sampai di masa itu. Tidakkah kau lihat masa hadapan, perluaskan minda melihat semuanya - mana yang nampak mulia, fikirkan dengan minda yang berwawasan,
orang berilmu, belajar tinggi-tinggi, terutama jika ilmu yang diredhai, bukan semua ilmu dipelajari dapat redha yang Maha Mengetahui.

Ingatkah ketika Ibnu Athaillah mengatakan, dalam kitabnya Al-Hikam,

"Ilmu yang paling baik adalah yang disertai khasyyah."

Khasyyah adalah rasa takut kepada Allah yang disertai mengagungkan Allah. Maka segala jenis ilmu yang tidak mendatangkan rasa takut kepada Allah dan juga tidak mendatangkan pengagungan kepada Allah tiada kebaikannya sama sekali"

Itulah kata-kata indah dari seorang Tokoh. Satu persoalan yang sering bermain di fikiran. Bagaimana nak belajar kerana Allah, untuk mendapat redhanya?

InsyaAllah inilah jawapannya.

Untuk mengetahui ilmumu bermanfaat atau tidak, cukuplah kau lihat bekasnya. Jika dengan itu kau semakin takut kepada Allah dan semakin baik ibadahmu kepada-Nya, maka itulah tanda ilmumu benar-benar bermanfaat. Jika sebaliknya maka berhati-hatilah.

Ini semua bermain dengan niat, satu benda yang sukar dijaga. Pengikhlasan niat hanya pada-Nya, paling kurang 5 kali ikrar diulang setiap hari. Semuanya hanya untuk Allah Azza Wa Jalla,

"Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam."
(QS 6 : 162)

Di mana kita selama ini? Ilmu apa yang kita tuntut? Jangan ingat hanya ilmu agama sahaja yang nampak diredhai.

Walau Rasulullah pernah bersabda, buat renungan kita semua;

"Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din"

Jangan kita berfikiran sempit, mentakrifkan ilmu agama sahaja yang akan diredhai. Tidakkah kau mengetahui, ilmu lain nampak dibayangi, seperti sains dan astronomi, tidakkah itu cara untuk mendekati kepada Ilahi. Ilmu lain boleh didasarkan pada niat yang hakiki, menambah ilmu untuk menjadi seorang pengabdi, kepada Tuhan Rabbul 'Izzati.

- Artikel iLuvislam.com

Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

Copy dan Paste dari : http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/3142-apa-ertiku-menuntut-ilmu.html


Jika Dahulu Ramadhan Aku Sia-Siakan..

alt

Marhaban Ya Ramadhan!

Terasa indah pada hari ini mampuku berdiri, menghadiahkan seribu kali kesyukuran, di bulan Syaa'ban yang mulia. Ini bermakna aku semakin menghampiri Ramadhan Al Mubarak yang ku tunggu-tunggu demi cintaku pada yang Esa. Ya, masih tinggal cuma beberapa hari lagi sebelum Ramadhan tiba. Namun, tatkala teringat bahawa ajal datang umpama kilat memanah bumi, malah lebih laju dan tepat detiknya, aku menjadi sayu.

Bagaimana andainya Ramadhan kali ini tidak dapat ku temui? Mungkinkah nyawaku ditarik sebelum sempatnya Ramadhan kembali? Segala persoalan ku tahu tidak akan terjawab namun, aku kembali memohon kepada Dia, Allah S.W.T, panjangkanlah usia hambamu ini, dan berikanlah kesempatan memenuhi Ramadhan-Mu lagi. Kerana Ramadhan dahulu aku telah mengecewakan Mu, Ya Allah. Kerana Ramadhan dahulu aku telah banyak mensia-siakan Ramadhan dengan kealpaan dan kemungkaran.

Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Mengapa ia dikatakan begini? Sudah tentu semua telah maklum bahawa Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang kita diuji dengan pelbagai corak ujian untuk mengukur kesabaran demi memperoleh seribu kebaikkan daripadanya. Masya-Allah!

Jika ada antara yang bukan Islam bertanyaku, 'Tidak lapar kah kamu semua berpuasa selama 30 hari? Kalau aku di tempat engkau, sudah tentu aku tidak dapat memenuhi tuntutan puasa tersebut'.

Maka aku selalu nyatakan pada mereka bahawa, 'aku berpuasa bukanlah bermakna aku sedang kebuluran. Sedangkan di setiap pelusuk dunia masih ramai yang tidak menemui makanan dan minuman. Adakalanya berhari-hari mereka kelaparan namun mereka tetap cuba untuk hidup sehingga sisa-sisa nafas yang terakhir. Aku berpuasa demi mengingati Allah dan ciptaan Allah yang ditakdirkan kekurangan serba-serbi dalam kehidupan, di malam hari aku beribadah memuji Allah kerana aku bersyukur, ditakdirkan hidup dalam golongan manusia yang sederhana. Masih mampu meraih nasi dan lauk pauk. Masih mampu meneguk air berwarna warni lengkap berais. Tapi mereka? Ada yang sekadar meneguk air lumpur. Ada yang menangis, meneguk air longkang. Mengapa tidak kita yang serba cukup ini masih tidak bersyukur?'

Aku teringat mengenai kisah sahabat Nabi yang dikasihi mengharungi bulan Ramadhan:

Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, apabila masuk bulan Ramadhan, dan ketika malam telah melabuhkan tirainya, beliau mengadap mihrabnya (tempat ibadat) sambil memegang janggutnya lalu ia mengangis sambil berkata: Wahai dunia! Samada kamu menghadap kepada ku atau berpaling dariku, aku telah ceraikan kamu dengan talak tiga, dan tidak mungkin lagi aku kembali kepadamu. Sesungguhnya umur kamu pendek, urusun kamu (menipu daya manusia) sangat hina dan tipu daya sangat besar. Ohh! Alangkah sedikitnya bekalan (ku), sedangkan perjalanan sangat jauh dan jalan pula sukar!

Masya-Allah, Saidina Ali sahabat Baginda S.A.W yang dijamin syurga pun merasakan dirinya mempunyai bekalan amalan yang sedikit, inikan lagi kita yang nyata-nyata sering melakukan dosa besar dan kecil kepada Allah S.W.T? Sekali lagi hati ini bertukar sayu dan hiba. Aku mungkin bijak menyatakan kepada mereka tentang fadhilat berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi aku sendiri masih banyak melakukan dosa yang sedar dan tidak di bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain selain Ramadhan. Sedangkan aku tahu aku tidak semulia Saidina Ali. Ampunkanlah dosaku Ya Allah!

Allah menciptakan manusia dengan tujuan, iaitu untuk menguji samada kita baik atau sebaliknya.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)." [Al-Mulk : 2]

Setiap permulaan pasti ada pengakhiran bukan? Pengakhiran ujian itulah yang dinamakan Mati/Maut.

Firman Allah ta'ala yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya." [Ali-Imran:185]

Ramadhan adalah bulan penuh dengan kebaikan, keberkatan dan rahmat Allah yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya. Ia ibarat seperti pasar-pasar perniagaan yang kesemua barang-barangnya yang di jual adalah yang terbaik dan dijamin kekal selama-lamanya. Inilah perniagaan yang sangat menguntungkan.

Firman Allah ta'ala lagi mengenai kehidupan yang bermaksud:

"Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)." [Al-Saf : 10-11]

**

Oleh kerana aku merupakan manusia yang sering terlalai dan membuat dosa, maka Ramadhan ini lah sebenarnya merupakan waktu untuk aku menghapuskan dosa-dosaku agar aku dikembalikan kepada-Nya tanpa noda-noda dosa.

1)Sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan ganjaran pahala, maka di ampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang." [HR Al-Bukhari]

2)Sabda Rasulullah SAW lagi:

"Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat yang lain dan puasa Ramadan ke Ramadan yang lain,semuanya adalah penghapus dosa-dosa di antara kedua-duanya selagi mana ia menjauhi dosa-dosa besar." [HR Muslim]

Insya-Allah dengan kehadiran Ramadhan kali ini aku akan berusaha merebut peluang ini untuk berpuasa dengan penuh keimanan kepada-Mu, bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga malah turut menahan diri daripada godaan syaitan dan hawa nafsu.

3)Sabda rasulullah SAW tentang kebaikan Ramadhan lagi:

"Semua amalan anak Adam akan di ganda pahalanya, setiap amalan baik sama dengan sepuluh kebaikan dan diganda lagi sehingga tujuh ratus melainkan puasa. Maka firman Allah ta'ala: Maka sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri akan membalasnya, ia meninggalkan syahwatnya dan makan demi kerana-Ku." [HR Muslim]

Lantas aku teringat kisah Rasulullah S.A.W bahawa Baginda pernah bercerita kepada sahabat-sahabat Baginda, mengenai perihal syurga Rayyan, iaitu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang ikhlas berpuasa,

4)Sabda Rasulullah SAW mengenai Syurga Rayyan:

"Sesungguhnya di syurga ada satu pintu di namakan Ar-Rayyan, akan masuk melalui pintu ini pada hari qiamat mereka yang berpuasa , tidak akan masuk melaluinya selain daripada mereka. Di katakan: Di manakah orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka yang berpuasa memasukinya, setelah mereka masuk pintu ini pun ditutup dan tidak akan masuk lagi seorang pun selepas itu." [HR Al-Bukhari]

Baginda S.A.W juga pernah menyatakan bahawa bukan sahaja pintu syurga Rayyan yang akan dibuka malah semua pintu-pintu syurga akan memperlihatkan isinya( terbuka) dan pintu-pintu neraka akan tertutup selama sebulan.

5)Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila masuk Ramadhan, pintu-pintu syurga akan di buka, di tutup pintu-pintu neraka dansyaitan-syaitan di gari." [HR Al-Bukhari]

Apabila membaca hadis ini, aku sering berasa lega. Alhamdulillah, tiada syaitan yang akan menganggu ibadahku ketika bulan Ramadhan, sudah pasti ibadah ku akan menjadi tip-top dan sempurna! Tetapi aku sering lupa bahawa hawa nafsu itu masih ada dalam diri. Aku berazam, Ramadhan kali ini aku akan tundukkan hawa nafsuku agar ia patuh menunaikan arahan dan perintah Allah S.W.T.

Di akhir Ramadhan, Allah kurniakan pula satu malam yang tiada tandingannya dengan malam-malam yang lain. Benar bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Pengampun. Seboleh-bolehnya Dia menciptakan hari dan bulan untuk manusia-manusia bertaubat dan mensucikan diri daripada dosa. Jika Allah itu zalim, sudah tentu Dia tidak akan menciptakan penghulu keindahan Ramadhan ini yakni malam lailatul qadar dipengakhir Ramadhan! Pepatah inggeris mengatakan, Save The Best for The Last.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan." [Al-Qadr : 1-3]

6)Rasulullah juga turut bersabda mengenai keistimewaan Lailatul Qadar:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, Allah telah fardukan ke atas kamu puasa ramadhan, di buka padanya pintu-pintu langit (pintu syurga) dan di tutup pintu-pintu neraka Jahim, di ikat syaitan-syaitan yang paling jahat, bagi Allah satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang di haramkan dari kebaikannya, maka ia di haramkan dari segala kebaikan." [Hadith sohih-Riwayat al-Nasa'i]

Sesungguhnya begitu mulia Ramadhan Al-Mubarak. Begitu besar dan banyak kebaikannya. Malah tidak terhitung jumlah dosa-dosa yang terhapus kerananya! Ya Allah Ya Rabbi, jauhkanlah aku daripada kelalaian menyambut bulan-Mu Ramadhan. Tingkatkanlah usaha ku ke arah mencapai rahmah-Mu. Amin

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis/Editor


Musfira Binti Mohd Fahmi merupakan seorang mahasiswi Tahun Dua Jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara BLS /LLB hons. (UiTM) Shah Alam. Kini sedang berkhidmat secara sambilan sebagai editor artikel di IluvIslam.com. Bercita-cita menjadi peguam hartanah yang berjaya dan diredhai Allah.

copy dan paste dari http://www.iluvislam.com/tazkirah/bulan-islam/3143-jika-dahulu-ramadhan-aku-sia-siakan.html